Rajinlah klik kat sini ya

Pengkarya

Wednesday, March 18, 2015

BELAHAN JIWA-KRISTAL (Bab 2)


Suara kanak-kanak tertawa girang kedengaran di satu sudut taman yang dipenuhi pelbagai jenis bunga. Bunga kekwa kuning yang mengembang turut tertawa sama dengan keletah kanak-kanak yang mencucuk-cucuk seorang wanita di hadapan mereka. Di tangan setiap kanak-kanak yang berusia di antara 6 hingga 10 tahun itu masing-masing memegang kemas pedang kayu. Senjata mainan mereka.

“Cubalah teka!” jerit seorang kanak-kanak lelaki, sambil menjolok hujung pedang kayu ke kaki wanita yang bergaun kembang berwarna putih dan berlapis biru di bahagian luar gaun. Disambut dengan ketawa girang oleh kanak-kanak yang lain.

Wanita yang ditutup matanya dengan kain baldu berwarna ungu langsung tidak menggenggam tawa. Rambutnya ikal dan hitam pekat dibiarkan tidak teruruskan. Panjang sehinggi mencecah pinggang. Mengerbang kala ditiup angin yang sentiasa tidak tenang. Suaranya menjulang. Gelaknya tetap bersantun. Tetapi akalnya sedang mengamati suara tadi. Dia tahu suara siapa tetapi apalah seronoknya meneka dengan cepat. Lagipun, dia memang hendak berseronok di taman ini.

“Firad?” tekanya, sengaja menyimpang.

Tuesday, March 17, 2015

BERIKAN AKU SEJAMBAK BUNGA (Bab 2)


“Ini memang tak masuk akal.” Wanita itu memandang wajahnya yang terbias di dinding cermin. Langit biru yang terbentang luas tanpa cela awan langsung tidak menenangkan gelora yang berkocak di dalam hatinya.
“Bercinta dengan Arfan tapi nak kahwin dengan Aathif? Apa yang Ayen fikirkan? Apa yang berlaku sebenarnya?”
Dia mendengus geram. Kedut-kedut di wajahnya bertambah jelas. Bukan kerana usianya yang sudah pun menghampiri angka 55 tahun. Tetapi kerana kebimbangan yang jelas membelenggu jiwanya. Sehingga begitu ketara terpapar di wajah lesu itu.
Lama dia merenung muka sendiri. Kala, bunyi loceng di luar rumah berbunyi, dia segera berpaling. Tetamu yang sedang menanti di luar rumah bukanlah orang asing baginya. Tetapi, dia lebih suka membiarkan tetamu itu menunggu. Masalah di dalam rumah ini yang harus diberi keutamaan dahulu.
“Apa yang telah berlaku, Ayen? Kenapa Ayen tidak mahu berterus-terang pada umi? Kenapa Ayen nak seksa hati umi?”

Monday, March 16, 2015

BELAHAN JIWA-KRISTAL (Bab 1)

BUMI

Beratus ribu tahun dahulu, bumi terbahagi kepada empat benua. Keempat-empat benua ini ditadbir oleh seorang Maharaja Berdaulat yang mempunyai kekebalan dan sangat-sangat misteri. Bagaimanapun, setiap benua diperintah oleh seorang Maharaja Lantikan yang dipilih melalui pelbagai ujian dan salasilah keturunan.


Tersebutlah sebuah kisah bermula nun jauh di Benua Timur yang terdapat empat buah Kerajaan terbilang. Setiap kerajaan ini diperintah oleh seorang Raja yang dipilih melalui keturunan yang berdarah diraja dan mempunyai susur galur dengan Maharaja Lantikan.

Benua Timur yang dihuni oleh makhluk bergelar manusia itu adalah selemah-lemah spesies manusia di antara keempat-empat benua. Ini kerana, Benua Timur adalah bumi terlarang untuk makhluk daripada benua yang lain. Malangnya, sempadan itu telah dicemari. Undang-undang itu telah dikhianati. Sehinggalah membawa kepada bermulanya kisah yang mendebarkan. Merubah keseluruhan empat benua yang saling tidak bertegur sapa.

BENUA TIMUR
KERAJAAN BASAKTI

Derap kaki yang menghentak seakan menggegarkan bumi. Tanah yang dipijak mahu menggempa tetapi derasnya langkah sekencang ribut taufan yang melanda tidak sedikit pun menahan hasrat. Seperti puting beliung yang mahu menyambar ke hadapan, hasrat sekumpulan lelaki berpakaian tentera diraja kelihatan bergegasan menuju ke sebuah perkampungan di pinggir hutan. Dari jauh, kelihatan kepulan asap hitam menjulang menyapa awan. Bau-bauan rentung bertiupan memanggil-manggil ketibaan mereka. Seakan tidak sabar-sabar lagi mahu mereka sampai. Ke tanah jajahan kampung yang sepertinya dirundung malang.

Sunday, March 15, 2015

BERIKAN AKU SEJAMBAK BUNGA (Bab 1)

Bab 1


“Tidak!” bentak lelaki itu. Meja separuh bulat dihentak dengan telapak tangannya. Bergegar meja itu. Bergetar juga seluruh kaki dan badannya. Matanya membuntang. Mahu sahaja ditelan manusia di hadapannya itu. “Saya tidak setuju,” putusnya lantang.
                Lelaki di hadapannya berdiri. Kerusi tertolak ke belakang. Riak wajah yang sama seperti lelaki tadi. Sama-sama tegang. Sama-sama merenta-renta.
“Awak ingat saya setuju? Saya pun tidak setuju!” balas lelaki yang mendengus geram di hadapannya itu. Kedua-dua tangan lelaki berkepala separuh botak sudah mencekak pinggang. Dia beralih daripada meja. Kalau diikutkan hati yang menggelegak itu dan kemarahan yang jelas terlakar di wajahnya, dia mahu menendang meja itu. Kalau Salim boleh menghentak dengan tangannya, dia pun boleh menendang dengan kakinya. “Salim, sungguhpun awak tidak setuju, sekurang-kurangnya tanya pada anak awak dulu…”
“Nak tanya apa? Anak saya tidak akan setuju. Macam saya juga,” pangkas Salim, kembali duduk, menyandar di kerusi kulit berwarna hitam melebihi kepalanya. Tangan yang menghentak meja tadi terasa sakit. Padan mukanya. Diurut-urat telapak tangan itu, di bawah meja. Jauh dari renungan Khairul.
            Khairul yang mundur-mandir ternyata sangat resah. Kenapalah susah sangat mahu berbincang dengan Salim? Selama ini mereka selalunya sependapat. Dari zaman bujang, sehingga zaman dah berkahwin dan beranak-pinak. Antara mereka tidak pernah meninggikan suara. Seperti apa yang berlaku sekarang ini.

Thursday, March 12, 2015

Desiran Cinta Di Hujung Benua (Bab 1)

Hasil Nukilan : Nurhidah Halun

Bab 1
  
Satu!
Dua!
Tiga!
Apocot!” Dia terlepas jeritan kecil. Hampir sahaja dia tergelincir dan jatuh ke tanah. Nasib baik, tangannya pantas berpaut pada pemegang tangga. Lalu, tubuh langsingnya meminjam kekentalan susur tangga besi yang sedikit nipis dengan bersandar seketika. Dia melepaskan nafas pendek, melemparkan rasa lega yang mencanak ke awangan. Sempat juga mengurut dada, menenangkan rasa malu yang membukit tanpa sedar.

“Hati-hati, cik,” suara seseorang menegur dari belakang. Dia menoleh sekilas lalu menguntumkan senyuman malu. Kala itu, dia sedar wajahnya sudah merona merah.
“Biar saya tolong bawa beg,” pelawa orang itu lagi. Anak mata gadis itu terarah pada beg bagasi yang masih berada pada tangan kanannya. Nasib baik tak terlepas pula. Kalau tidak, dia dengan beg bagasi empat roda kecil molek berwarna coklat sudah jatuh tergolek ke bawah sana. Ergh! Wajah gadis itu berubah. Tampak ngeri dengan apa yang terlintas di benak akalnya. Pasti dia lagi malu besar kalau itu terjadi.