BUMI
Beratus
ribu tahun dahulu, bumi terbahagi kepada empat benua. Keempat-empat benua ini
ditadbir oleh seorang Maharaja Berdaulat yang mempunyai kekebalan dan sangat-sangat
misteri. Bagaimanapun, setiap benua diperintah oleh seorang Maharaja Lantikan
yang dipilih melalui pelbagai ujian dan salasilah keturunan.
Tersebutlah
sebuah kisah bermula nun jauh di Benua Timur yang terdapat empat buah Kerajaan
terbilang. Setiap kerajaan ini diperintah oleh seorang Raja yang dipilih
melalui keturunan yang berdarah diraja dan mempunyai susur galur dengan
Maharaja Lantikan.
Benua
Timur yang dihuni oleh makhluk bergelar manusia itu adalah selemah-lemah
spesies manusia di antara keempat-empat benua. Ini kerana, Benua Timur adalah
bumi terlarang untuk makhluk daripada benua yang lain. Malangnya, sempadan itu
telah dicemari. Undang-undang itu telah dikhianati. Sehinggalah membawa kepada
bermulanya kisah yang mendebarkan. Merubah keseluruhan empat benua yang saling
tidak bertegur sapa.
BENUA TIMUR
KERAJAAN BASAKTI
Derap
kaki yang menghentak seakan menggegarkan bumi. Tanah yang dipijak mahu
menggempa tetapi derasnya langkah sekencang ribut taufan yang melanda tidak
sedikit pun menahan hasrat. Seperti puting beliung yang mahu menyambar ke
hadapan, hasrat sekumpulan lelaki berpakaian tentera diraja kelihatan
bergegasan menuju ke sebuah perkampungan di pinggir hutan. Dari jauh, kelihatan
kepulan asap hitam menjulang menyapa awan. Bau-bauan rentung bertiupan
memanggil-manggil ketibaan mereka. Seakan tidak sabar-sabar lagi mahu mereka
sampai. Ke tanah jajahan kampung yang sepertinya dirundung malang.
Kuda
dipacu semakin laju. Tali pedati dihentak-hentak berkali-kali. Sang kuda yang
sudah lama berkhidmat untuk setiap penunggangnya, benar-benar mengerti. Maka, berpeleseranlah
sang kuda menempik menuju ke destinasi. Namun, hati para penunggang itu bagai
diamuk kesal. Kepul-kepul asap hitam itu adalah petanda. Bencana buruk sedang
menggolak dan nyawa orang tiada upaya di sana bakal melayang.
Sebaik
sahaja pintu gerbang kampung itu kelihatan pada ruang mata, suatu bunyi
tiba-tiba membelah udara. Langkah sang kuda terpaku. Kaki menggetarkan dan
memaksa sang kuda mahu berpatah balik. Gerun mendengar amukan asing yang sedang
menanti. Tetapi para penunggang adalah hulubalang terbilang. Tentera kanan dari
keluarga diraja. Tiada gentar tiada gerun pada apa pun musuh yang muncul di
Kerajaan Basakti. Kerajaan terbilang yang terletak di barat Benua Timur.
“Seranggg!”
tempik lelaki berkepala botak. Tangannya memegang tali pedati semakin kejang.
Dipaksa diseret sang kuda mengikut langkahnya. Tempikan lantangnya itu disahut
gemuruh jeritan tinggi para hulubalang yang lain. Lalu, masing-masing memaksa
sang kuda melaju ke hadapan. Bersedia untuk bertindak sama.
Debar
di dada mereka mengamuk garang. Hembusan nafas mereka mengganas di udara.
Seluruh kudrat mereka dipasungkan pada keinginan mahu berada di kampung itu
pada dan ketika ini juga. Mereka tidak boleh terlambat. Bukan sekali lagi!
Sebaik
sahaja mereka sampai di pintu gerbang, sajian mata sangat-sangat mengharukan.
Belum pun sempat mereka mengamati pemandangan ngeri itu, suatu bunyi asing yang
menggemparkan tadi kedengaran sekali lagi di sebelah kiri mereka. Pantas,
mereka berpaling dan bayang-bayang aneh itu muncul sekali lagi. Bayang-bayang
yang ditinggalkan beberapa saat sebelum tuan sebenarnya kembali ghaib.
“Jahanam,
kita terlambat lagi,” jerit hulubalang berambut lurus dan panjang melepasi
punggung. Mukanya bengang, wajahnya berang.
“Kejar!
Jangan lepaskan!” arah hulubalang berkepala botak pula. Pandangan matanya mahu
membakar bayang-bayang itu. Dari dasar hatinya, harapan tidak pernah hilang.
Walau sekadar bayang-bayang, dia rasa tiada salah mengancam bebayang itu. Biar
boleh melukai tuannya. Apa pun, makhluk itu adalah pelik sekali. Juga tidak
ketahuan asal-usulnya. Jadi, tiada salah mencuba apa pun dalam usaha
menghapuskan makhluk ganas itu.
Arahan
yang menyahut bunyi yang menggema tadi disambut dengan tempikan sekumpulan hulubalang gagah perkasa. Tiada
gentar dalam pandangan mereka. Tiada sekelumit ketakutan yang menginjak di jiwa
mereka. Kumpulan hulubalang berpakaian hitam berperisai hijau dan bersenjatakan
parang, meluncur ke pinggir hutan di sebelah kiri. Amukan mereka menggema di
udara.
Ternyata
kumpulan tentera itu adalah di bawah hulubalang berkepala botak tadi. Mengejar
bebayang hitam seumpama kepul asap sehingga beberapa detik kemudian harapan
mereka berkecai. Bebayang itu tiba-tiba lesap. Ghaib sebaik sahaja menyentuh rerumput
hijau berhampiran pokok-pokok cengal yang mengelilingi kampung itu. Kemarahan
para hulubalang memuncak lagi. Derap kaki sang kuda berlagaan dan berkejaran
terhenti. Mereka mendengus geram. Tiada jalan untuk menjentik bayang-bayang itu
walau sekali.
Dalam
masa yang sama, hulubalang berambut lurus dan panjang dengan mata hitam pekat
bersama angkatan tentera di bawah arahannya menuju terus ke tengah-tengah
kampung. Di situ, jantung mereka bagai dirobek. Sinar mata menjadi kabur. Jiwa
luluh. Hati rabak sekali. Di sana sini, tiada satu manusia pun yang kelihatan.
Segalanya hitam. Kepul-kepul asap mengelilingi. Bara api masih menyala. Bukan
setakat kayu api, rumah dan binatang ternakan yang dibakar rentung, bahkan
longgokan manusia yang sudah hitam dan tinggal tulang masih meninggalkan bau
yang busuk. Sekali lagi, mereka disajikan mayat manusia yang tinggal bangkai.
Kejam sekali!
“Panglima,
apa yang harus kita lakukan sekarang?” soal seorang pemuda berpakaian hitam
dengan perisai berwarna merah di bahagian dada. Di tangannya terdapat sebilah
pedang panjangnya yang berukir logo yang sama seperti di perisainya itu. Logo
sebuah anak mata dikelilingi sembilan bintang.
Pemuda
itu mengarah kudanya mendekati hulubalang yang berambut panjang tadi. Lelaki
yang digelar panglima itu, memandang langit sesaat. Keindahan langit sedikit
pun tidak tercemar. Seolah-olah tiada malapetaka yang menimpa bumi Basakti.
Panglima itu menahan air matanya daripada tumpah. Seorang kesatria tidak akan
menitiskan air mata. Apatah lagi di hadapan bala tenteranya sendiri.
“Cari
mangsa yang terselamat,” arah hulubalang berambut panjang yang digelar panglima
tadi kemudian sebelum turun dari kudanya. Anak-anak buah berpandangan sesama
sendiri.
“Apa
tunggu lagi? Turun dan cari mangsa yang terselamat,” tempiknya apabila melihat
anak-anak buahnya yang masih berlengahan.
“Panglima
tentu tahu belum ada mangsa yang terselamat sebelum ini. Tak akan berbeza
dengan apa yang berlaku sekarang ni.” Kedengaran salah seorang daripada 12
satria di bawah arahannya itu menyuarakan rasa kurang senang.
Hati
panglima yang bersisa marahnya bertambah berang. “Kalau begitu, kamu takkan
balik sehingga setiap mayat di kampung ini kamu kebumikan sebaik mungkin,”
arahnya kasar.
Lalu,
buru-buruanlah 12 satria yang separuh umur itu bertempiaran menyelongkar setiap
pelusuk kampung. Mencari mangsa yang terselamat. Harapan mereka tetap tinggi.
Memandangkan dalam dua hari ini sudah terdapat tiga kejadian yang serupa
dilaporkan ke istana. Tiada siapa yang boleh menceritakan apa sebenarnya
terjadi. Bukti yang ditinggalkan itu bukanlah angkara manusia durjana atau
binatang buas. Sisa kejadian membuktikan kekejaman melebihi sifat kejahatan
dalam manusia. Seperti kejadian pagi tadi di kampung yang tidak jauh dari situ,
mereka hanya nampak bayang-bayang hitam pekat yang besar dan diselubungi kepulan
asap. Makhluk apakah itu? Tiada siapa pun yang tahu.
“Kita
mesti berangkat segera, Bestari.”
Lelaki
berkepala botak itu muncul bersama angkatan tenteranya di tengah-tengah
kampung. Renungannya dilemparkan kepada panglima yang sedang menatap mayat
rentung di dada tanah. Panglima bernama Bestari itu memahami maksud sahabatnya
yang masih berada di atas kudanya. Lelaki berkepala botak itu punya hati yang
sekeras gunung-ganang. Dia tidak mudah bersimpati.
“Beri
kami sedikit masa, Anggarius,” balas Bestari tanpa memandang kawannya itu. Sayu
hatinya melihat mayat yang rentung itu bersaiz kecil. Mengikut ilmu pengetahuan
yang dimilikinya, dia teramat yakin itu adalah mayat seorang kanak-kanak.
Hatinya bertambah-tambah remuk. Kekejaman apa yang berlaku sekarang ini? Sudah
terlalu lama tiada darah yang tumpah di bumi Basakti. Siapa yang begitu berani
melakukan kekejaman di tanah pemerintahan Raja Suhaiman?
“Kita
tidak boleh berlengah, Bestari. Kita mesti sampai ke Kampung Omon segera. Kalau
kita terlambat, mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti Kampung Banda
dan Kimarin ini.”
“Anggarius,
tolonglah. Jangan hilangkan terus peri kemanusiaan dalam hati kau,” sindir
Bestari, menggenggam rasa sebal terhadap rakannya itu.
Anggarius
ternyata tersentuh hati dengan kata-kata rakannya itu. Tatkala dia mahu
bertelagah kata, suara jeritan tentera Bestari di satu sudut menarik perhatian
mereka berdua. Kelihatan anak-anak tentera Bestari yang dipanggil Pasukan
Helang itu mengerumuni sesuatu. Mereka sedang teruja dan dalam masa yang sama
terus-terusan melaung kepada ketua mereka. Belum pun Bestari dan Anggarius berlarian,
anak-anak tentera Pasukan Gajah sudah mengerah kuda masing-masing bergegas ke
tempat kejadian.
Sesampai
sahaja Bestari dan Anggarius kepada kumpulan tentera mereka, kelihatan seorang
anak kecil dikeluarkan dari dalam telaga terbiar di kampung itu. Disambut penuh
hati-hati oleh setiap anak tentera Pasukan Helang. Malah, tentera Pasukan Gajah
juga sudah turun membantu apa yang terdaya. Anak kecil itu kelihatan tidak
sedarkan diri. Sesaat kemudian, diikuti pula oleh seorang lelaki tua yang
tampak ketakutan. Wajahnya penuh kesedihan. Suaranya merintih tidak
sudah-sudah. Air matanya berjuntaian.
“Anak
saya…keluarga saya…binatang tu bunuh keluarga saya,” rintihnya membiarkan
tubuhnya rebah ke tanah tidak bermaya.
Anggarius
dan Bestari tergamam. Sekarang mereka bukan sahaja ada seorang saksi tapi dua
sekaligus.


No comments:
Post a Comment