Bab
1
“Tidak!” bentak lelaki itu. Meja separuh bulat
dihentak dengan telapak tangannya. Bergegar meja itu. Bergetar juga seluruh
kaki dan badannya. Matanya membuntang. Mahu sahaja ditelan manusia di
hadapannya itu. “Saya tidak setuju,” putusnya lantang.
Lelaki
di hadapannya berdiri. Kerusi tertolak ke belakang. Riak wajah yang sama
seperti lelaki tadi. Sama-sama tegang. Sama-sama merenta-renta.
“Awak ingat saya setuju? Saya pun tidak
setuju!” balas lelaki yang mendengus geram di hadapannya itu. Kedua-dua tangan
lelaki berkepala separuh botak sudah mencekak pinggang. Dia beralih daripada
meja. Kalau diikutkan hati yang menggelegak itu dan kemarahan yang jelas
terlakar di wajahnya, dia mahu menendang meja itu. Kalau Salim boleh menghentak
dengan tangannya, dia pun boleh menendang dengan kakinya. “Salim, sungguhpun
awak tidak setuju, sekurang-kurangnya tanya pada anak awak dulu…”
“Nak tanya apa? Anak saya tidak akan
setuju. Macam saya juga,” pangkas Salim, kembali duduk, menyandar di kerusi
kulit berwarna hitam melebihi kepalanya. Tangan yang menghentak meja tadi
terasa sakit. Padan mukanya. Diurut-urat telapak tangan itu, di bawah meja.
Jauh dari renungan Khairul.
Khairul
yang mundur-mandir ternyata sangat resah. Kenapalah susah sangat mahu
berbincang dengan Salim? Selama ini mereka selalunya sependapat. Dari zaman
bujang, sehingga zaman dah berkahwin dan beranak-pinak. Antara mereka tidak
pernah meninggikan suara. Seperti apa yang berlaku sekarang ini.
Memang benar! Mereka tetap sependapat. Sekarang ini
pun mereka sependapat untuk tidak bersetuju. Anehnya, anak-anak mereka
bersetuju. Bersetuju menconteng arang ke muka mereka.
“Kenapa? Kenapa Aathif tidak setuju?” soal Khairul,
tidak berpuas hati. Badan kerusi hitam yang didudukinya sesaat yang lalu
dipegang kuat-kuat. Seakan-akan membayangkan itulah kepala Aathif. Lelaki itu
indah khabar dari rupa. Lelaki itu syaitan bertopengkan manusia. Huh! Khairul
tidak habis-habis mendengus.
![]() |
| Khairul |
“Anak awak yang buat hal, anak saya pula yang kena
pikul bebannya?”
Terdengar Salim merungut lemah. Jauh di dasar hatinya
dia tidak mahu meletakkan kesalahan itu di bahu anak gadis Khairul sahaja.
Tetapi, Aathif…? Tidak mungkin!
“Maksud awak anak saya yang salah? Habis tu, apa anak
lelaki awak buat? Pandang saja? Macam tu?”
Salim tidak menjawab. Dia sekadar mengerling tajam.
Baik dia diamkan diri. Bukan dia tidak tahu tahap kesabaran Khairul. Wajah
berang itu bakal meletup jika dia tersalah pilih perkataan lagi.
“Ini tidak mungkin terjadi. Maksud saya…saya yakin
tidak mungkin Aathif cintakan Shahreen.” Salim geleng tidak sudah-sudah.
Kelihatan Khairul meraup mukanya. Dia sendiri tidak
percaya. Tiba-tiba sahaja anak gadisnya menangis tak henti-henti semalaman.
Puas dipujuk, puas dipaksa. Shaheen tidak mahu menceritakan sebab-musababnya.
“Ayen nak kahwin dengan Aathif.” Itu sahaja ayat
anaknya semalam. Puas dibawa berbincang tetapi jawapan diterima hanyalah air
mata Shaheen menitis tak sudah-sudah. Perkara itulah yang membawa langkah
kakinya ke sini. Manalah tahu Salim ada petunjuk kenapa anaknya yang
mati-matian bercinta dengan Arfan, memilih untuk berkahwin dengan Aathif. Apa
yang terjadi?
“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Anak saya di rumah
menangis tak henti-henti. Dia kata macam mana pun dia nak kahwin dengan Aathif
juga. Dan dia sanggup memilih untuk berkahwin di Thailand kalau-kalau saya
tidak bersetuju. Dia kata Aathif sanggup kahwin lari dengannya kalau kita
menentang perkahwinan ini.”
Khairul yang kehairanan menempiaskan rasa yang sama kepada
Salim. Wajah Salim berubah riak.
“Saya rasa anak awak buat lawak pada awak tu,” sela
Salim, ketawa halus. Walaupun gelak kecil itu tidak menghiburkan hatinya
sendiri, tetapi dia berharap sangat semua yang berlaku itu adalah jenaka bodoh
orang muda sekarang.
“Buat lawak? Saya tidak yakin Ayen buat lawak. Dia
menangis kat rumah sekarang ni. Dia tidak pernah menangis macam tu. Risau saya
dibuatnya. Saya takut kalau-kalau dia…” Perkataan akhir itu ditelannya
dalam-dalam. Minta dijauhkanlah. Dia tidak mahu memikirkan kemungkinan begitu.
![]() |
| Salim |
“Tidak Khairul. Kalau dia minta
Aathif bertanggungjawab, Aathif pasti membantah. Lagipun, mereka baru sahaja
bersua. Atau ada sesuatu yang berlaku dan kita tidak tahu?”
Salim merenung ke dalam mata
sahabatnya dalam-dalam. Mengharapkan pengertian yang sama. Khairul menghela
nafas panjang lalu melepaskannya sekaligus. Cuba menenangkan gelodak hati yang
sedang bertingkah rasa.
Khairul kembali duduk di kerusi. Wajah Salim direnung
sama. Tatapan mereka menjadi sayu. Ada bicara yang terlepas lewat tenungan mata
antara dua sahabat itu. sama-sama memikul beban seorang bapa.
“Itulah yang saya hairankan. Kenapa Aathif? Saya tidak
tahu pun mereka bercinta selama ini. Awak tahu?” Mata Salim bersinar-sinar. Dia
pasti rasa bengang kalau-kalau Khairul sudah menduga sesuatu atau mengesyaki
tindak-tanduk anak perempuannya.
“Manalah saya tahu. Yang saya tahu dia selalu keluar
dengan Arfan. Awak tanyalah anak-anak awak tu, saya bingung. Bingung!” bentak
Khairul, meramas-ramas rambutnya sehingga kepala separuh botak itu nampak
bersih semula. Peluh yang merenek di kepalanya tadi sudah terlap oleh kedua-dua
tangannya itu.
“Nak saya tanyakan siapa? Aathif? Atau Arfan?”
“Siapa-siapalah. Saya tidak peduli. Pokoknya,
perkahwinan harus dilangsungkan. Saya takut…Argh!” Khairul mengeluh hebat. Pilu
hatinya memikirkan raut wajah Shaheen semalam. Merayu dan menangis. Sepertinya
ada sesuatu yang telah berlaku. Puas ditanyakan tetapi tiada jawapan. “Salim, kita
kahwinkan sajalah mereka berdua. Kenapa awak nak bantah juga. Siapa pun pilihan
Shaheen, kita tetap berbesan juga,” sambung Salim apabila memikirkan tindakan
anaknya sekiranya kehendaknya ini tidak dituruti.
“Masalah saya… Arfan. Macam mana dengan Arfan?” Salim
termangu memikirkan anak bongsunya itu. Arfan sudah banyak berubah. Sudah
matang. Dan sudah bersedia memikul tanggungjawab. Tidakkah masalah ini akan
membakar rentung jiwa raganya? Putus cinta pertama memang memeritkan. Dan
Aathif? Aathif tidak pernah mahu terjebak dalam dunia cinta. Inikan pula dengan
Shaheen, teman dan buah hati adiknya sendiri. Tidak! Aathif takkan merobek hati
Arfan biar apa pun sebabnya.
“Boleh tak kalau masalah Arfan tu kita fikirkan
kemudian. Sekarang ni masalah perkahwinan ni. Lebih baik awak tanyakan Aathif
dulu.”
“Itu lagi satu masalah besar.” Salim mengeluh semakin
kuat. Siku menyentuh meja dan telapak tangan diletak di dahi. Dipicit-picit
dahinya yang berdenyut perit.
“Maksud awak?”
“Awak kenal Aathif. Aathif bukan jenis yang sukakan
perempuan. Apa lagi bercinta dengan perempuan. Anak awak pula tu…”
“Apa kurangnya anak saya?” Khairul mencebik seraya
menyambung, “Anak awak yang dah terlajak umur tak kahwin-kahwin lagi tu,
macamlah hebat sangat sampai tidak sesuai dengan anak saya. Macamlah dia
satu-satunya lelaki yang tinggal dalam dunia ni sampaikan…”
“Itulah pasal. Itulah maksud saya. Arfan dah
tergila-gilakan Shaheen. Kenapa pula Shaheen tergamak melukakan hati Arfan? Itu
pun dengan cara begini.”
Salim tidak peduli. Bukannya dia tidak mahu menjaga
hati sahabat baiknya itu. Tetapi, semua ini berlaku gara-gara Shaheen. Tak ada
angin tak ada ribut, tiba-tiba sahaja Shaheen telefon Arfan semalam dan cakap
hubungan mereka berakhir. Tambah meluluhkan hati lagi apabila Shaheen
memberitahu bahawa dia dan Aathif akan berkahwin. Betulkah? Siapa yang mahu
percaya?
“Kenapa awak tak tanya Aathif? Bukannya dia tidak tahu
yang Arfan dengan Shaheen sudah merancang untuk berkahwin.”
“Ini memang tak masuk akal. Percayalah cakap saya ni.
Aathif takkan setuju.”
“Saya setuju!”




No comments:
Post a Comment