Hasil Nukilan : Nurhidah Halun
Bab
1
Satu!
Dua!
Tiga!
“Apocot!” Dia terlepas jeritan kecil.
Hampir sahaja dia tergelincir dan jatuh ke tanah. Nasib baik, tangannya pantas
berpaut pada pemegang tangga. Lalu, tubuh langsingnya meminjam kekentalan susur
tangga besi yang sedikit nipis dengan bersandar seketika. Dia melepaskan nafas
pendek, melemparkan rasa lega yang mencanak ke awangan. Sempat juga mengurut
dada, menenangkan rasa malu yang membukit tanpa sedar.
“Hati-hati,
cik,” suara seseorang menegur dari belakang. Dia menoleh sekilas lalu
menguntumkan senyuman malu. Kala itu, dia sedar wajahnya sudah merona merah.
“Biar
saya tolong bawa beg,” pelawa orang itu lagi. Anak mata gadis itu terarah pada
beg bagasi yang masih berada pada tangan kanannya. Nasib baik tak terlepas
pula. Kalau tidak, dia dengan beg bagasi empat roda kecil molek berwarna coklat
sudah jatuh tergolek ke bawah sana. Ergh! Wajah gadis itu berubah. Tampak ngeri
dengan apa yang terlintas di benak akalnya. Pasti dia lagi malu besar kalau itu
terjadi.
“Tak
apalah, terima kasih,” ucapnya jujur pada lelaki yang bermanis mulut. Hati
lelaki itu sangat mulia pada anggapannya. Seketika, anak matanya meliarkan
pandangan pada tubuh pesawat Maswing yang sudah berhenti memutarkan kipas
kecilnya di kedua-dua sayap. Namun, bunyi bising dari enjin pesawat masih
menyambar rakus pendengaran. Ditambah pula oleh tepisan demi tepisan bahang
panas yang membakar enjin pesawat terlontar dan menjamah tubuh gadis berusia 24
tahun itu. Dia tahu pesawat itu hanya berhenti menurunkan penumpang sebelum
mengambil penumpang yang mahu ke Kota Kinabalu pula.
Dia
tersentak kala suasana semakin riuh di belakang lelaki tadi. Lalu, dia kembali
menegakkan badan. Anak tangga sebanyak lima tingkat yang setinggi hampir dua
meter itu dijejaki dengan penuh hati-hati. Kasut Vinci berwarna perang setinggi
3 inci menambahkan ketinggiannya yang sebenarnya tidak pun sampai 6 kaki.
Lantaran itu, dia sangat gemar berkasut tumit tinggi dan runcing di belakang
tapaknya, ala-ala kitty heel gitu.
Sebaik
sahaja kaki dilabuhkan kasar di jalan bersimen aspal, dia membuang senyuman
pada beberapa petugas lapangan terbang yang menyambut ketibaan para penumpang.
Berlagak seolah-olah tiada perkara yang memalukan berlaku pada dirinya.
Senyumannya bersambut, lalu hatinya menjerit penuh bangga.
Cermin
mata vintage bulat berwarna merah
gelap jenama Gucci yang mencengkak rambut hadapannya, dilepaskan sebelum
merangkul matanya. Pandangan menjadi suram. Anak mata semakin mencecah lebih
dalam. Di sebalik penglihatan yang semakin kelam, sudah terbias ramai yang
melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Lantas, akalnya dipagut seribu satu
persoalan. Hati mahu meruntun mengenali mereka sedangkan akal lebih menjaga
penampilan yang mahu ditayangkan. Statusnya harus dirapi, imejnya mesti
diperhalusi, namanya pasti dikenali.
Lengkok
tubuhnya melentok lembut berhemah penuh karisma. Senyumannya bagai digam
melekat tidak bersurutan. Dia yakin orang yang tidak mengenalinya pun tidak
mahu berganjak pandang daripada terus menatap kemunculannya. Sekali lagi, suara
kecilnya tersenyum berbisik-bisik mengusik empunya badan. Dia tidak
terburu-buru, langkahnya tertib sehingga walaupun dia antara orang yang awal
turun dari kapal terbang, dialah juga antara orang terakhir yang sampai di
balai ketibaan.
Belum
sempat menanggalkan cermin mata separuh gelapnya, tangannya ditarik ke sisi.
Lalu tubuhnya sudah didakap. Suara sendu menangkap pendengarannya.
“Umi!”
jeritnya melontar girang di hati. Turut mendakap penuh erat wanita itu yang
sudah melepaskan esakan di bahunya. Tangannya berusaha menggapai cermin mata.
Nasib baik uminya sudah melepaskan pelukan. Lalu, laju benar tangan menaikkan
cermin mata semula ke atas kepala.
“Bella!”
Belum
sempat mata melakar wajah wanita yang sudah melepasi separuh abad itu, pipinya diterkup
dengan telapak tangan sebelum kedua-dua pipinya yang bercalit merah jambu
disentuh ciuman seorang ibu. Sentuhan yang menepuk rasa di relung hati.
Terkocak jiwanya. Mula bertakung air di matanya.
“Bella,
anak umi dah balik,” bisik wanita itu lagi seraya memeluk tubuh Bella sekali
lagi. Mendakap penuh kasih. Air mata melimpah tidak tertahankan.
“Umi
ni, a…kak balik pun mau… nangis,” tegur seseorang di belakang Bella. Bella
menempiaskan ekor matanya ke sisi. Tubuh seorang gadis seawal dua puluhan menghadiahkannya
senyuman paling manis. Bella teruja sangat-sangat dikerumuni ahli keluarga.
Pipi umi dicium berkali-kali. Nasib baiklah pemerah bibir itu kalis air. Jika
tidak, sudah tentu meninggalkan calit pada wajah umi yang dibasahi air mata.
“Umi,
Bella rindu kat umi. Rindu sangat-sangat.” Rindu dan menangis macam mana pun,
Bella tetap menjaga raut wajahnya. Lalu, air mata diseka dengan hujung jarinya
penuh hati-hati. Tidak mahu merosakkan lakaran indah di sekitar mata dan
keningnya.
“Macam
mana anak umi? Biar umi tengok,” wanita itu bersuara dengan wajah berseri-seri.
Hilang sudah sendunya. Pupus sudah air matanya. Tubuh Bella dijarakkan. Bella terus bersalin kulit. Kalau tadi menangis
ala-ala Neng Yatimah sambil lap birai mata, takut mekapnya bersememeh, kini tak
sedar diri mengembangkan dada, lagak model Valerija Sectic yang berasal dari
Croatia untuk diperiksa uminya. Berpusing
ke kiri berpusing ke kanan. Tangan dan kaki dilentok lembutkan. Menayang tubuh
badannya yang sentiasa menjadi sebut-sebutan orang. Impiannya ke ibu negara
tiga tahun dahulu adalah untuk mencipta nama sebagai model terkenal di serata negara.
Sebaliknya, dia hanya mampu menjadi kegilaan lelaki dan kebencian sesama
perempuan.
“Anak
umi makin cantik. Uina! Kulit Bella
makin gebu. Produk apa Bella pakai?” tiba-tiba uminya bertanyakan sesuatu yang
menggelikan hati Bella. Terkekek Bella tertawa. Disambut pula oleh umi dan
adiknya.
“Wah!
Nampaknya Anis pun makin cantik,” puji Bella menyedari adiknya yang tidak
pernah berenggang daripada umi sedari tadi. Anis tersipu-sipu malu. Dia bukan
seperti Bella. Anis makin dipuji makin menunduk dan mahu menyorokkan muka.
Kalau boleh sampai bawah meja pun dia sanggup menyorok kalau ada yang tak
berhenti-henti memujinya.
Anis
menghulur tangan mahu bersalam dengan kakaknya. Tetapi, tangan itu direntap dan
tubuh Anis dipeluk erat.
“Akak
rindu Anis juga tau,” tutur Bella sambal mencuit pipi Anis yang tampak licin
sekali.
“Anis
makin cantiklah, umi. Sudah mau kalahkan Bella ni,” usik Bella, merenung
dalam-dalam wajah adiknya. Jauh di sudut hati dia mengakui Anis bakal menjadi
gadis rupawan kegilaan lelaki sedikit masa lagi. Sahamnya akan melambung
tinggi. Kalaulah adiknya memiliki kesempurnaan dalam hidup. Entah kenapa,
hatinya menjadi sayu tiba-tiba.
“A…akak
ni. Ma…na ada. Sambarangan sajalah,”
Anis menangkis pujian, juga menepis tangan Bella yang tak henti-henti mencuit
pipinya. Dia ingat muka Anis ni bahan eksperimenkah?
“Hai,
anak-anak umi tentulah makin cantik, makin gebu. Tengoklah siapa memnya,” wanita separuh abad itu sudah
melayangkan egonya. Senyuman melirik pandangan mata dilemparkan pada Bella dan
Anis bersalut rasa bangga. Ketawa mereka berderai.
Saat
tawa mereka tenggelam, anak mata Bella meliar sekitar. Ada sesuatu yang
dicari-cari di kalangan serumpun manusia di balai ketibaan Lapangan Terbang
Lahad Datu. Sebuah pekan yang penuh suka duka di pantai timur peta negeri
Sabah.
“Mana
beliau?” tanya Bella, tercari-cari
kelibat lelaki yang seorang itu. Uminya menggeleng. Tahu benar siapa ‘beliau’ yang dicari-cari anak gadisnya
itu. Kening Bella bertautan. Anis menunduk muka, tidak mahu menjadi mangsa
soalan kakaknya.
“Abah
masih marahkan Bella ke, umi?” soal Bella yang dirundung rasa bersalah.
Terimbas di kotak ingatannya kejadian dua hari lalu. Suara tegang abahnya
menjerit-jerit di talian telefon.
“Sudah!
Jangan kau kasi banyak alasanmu situ.
Abah bilang balik, baliklah!”
“Abah,
bukan Bella tak nak…”
“Kalau
Bella endak mau balik juga minggu ni,
endak payah balik sampai bila-bila
pun. Anggap sajalah kami semua sudah mati bah.
Dan kalau abah mati pun, endak payah
balik! Abah endak mau Bella tengok muka abah lagi,” ugutan
abah menghentak rudum hati Bella hari itu.
Walaupun
abah tidak lagi menggunakan telefon gagang yang boleh dihempas kuat-kuat, sebagai
memberitahu betapa marahnya abah, hati Bella tetap terasakan. Entah apalah
sebabnya yang mengusik singa sehingga ngauman itu kedengaran sampai ke Kuala
Lumpur. Membaham satu-satunya anak yang melarikan diri, mahu hidup mengejar
cita-cita sendiri.
Kali
ini Bella kalah. Kalah pada amukan abah. Kalah pada ugutan abah. Atau
sebenarnya dia kalah pada kasih sayangnya buat abah, umi dan adik-beradik yang
lain. Cintanya itu masih melimpah-ruah di dalam hati. Sehingga saat dan tika
ini, dia sudah menginjak bumi Lahad Datu sekali lagi selepas tiga tahun tidak
kembali.
“Bella
sudah balik ni, sejuklah hati abah kau tu nanti. Sudahlah, endak payah kau fikir lagi,” uminya mahu menepis kelat yang
berlabuh di wajah Bella. Bella sedar kata-kata manis uminya sekadar mahu
menyejukkan hatinya. Sedangkan semua orang tahu betapa sukarnya melembutkan
hati abah yang sudah disampuk ‘jin tendang’.
“Dahlah,
ayuk kita balik. Bella ada satu beg
saja?” soalan itu berjaya mengalihkan perhatian Bella. Baru Bella teringat
barang-barangnya yang belum diambil di kaunter bagasi. Nasib baiklah, petugas
masih memunggah naikkan bagasi-bagasi yang pelbagai bentuk dan saiz ke kaunter.
Para penumpang yang tidak sabar menunggu, sudah berpusu-pusu dan menyempit di
antara satu sama yang lain. Bella tidak terkecuali. Teringatkan abah, hatinya
mahu segera berdepan dengan lelaki itu. Biar apa pun dosanya, walau apa pun
salahnya, dia berhak dan wajib meminta ampun.
Ketika
terlihat bagasi merah terang menyala, satu sahaja di antara semua, Bella
mengangkat tangan dari belakang.
“Bang,
itu beg saya,” jeritnya kepada petugas yang sedang memegang bagasi merah tadi.
Petugas itu pun terus menyuakan bagasi itu kepada Bella sebelum meletakkan di
atas kaunter. Bella yang berada di belakang pantas menyelit di antara beberapa
tubuh lelaki di hadapannya. Dia tidak peduli. Berlaga bahu dan bergeser tubuh
itu sudah terlalu biasa buatnya.
“Tumpang
lalu…tumpang lalu,” begitu pun, siren mulutnya berbunyi memohon kerjasama pada
yang prihatin memberi laluan. Pada yang terteleng kepala, dihadiahkan selembar
senyuman manis. Ikhlas dari lubuk hatinya.
“Gatal.”
Senyumannya
mati tiba-tiba. Tersentap jiwanya. Dari ekor matanya, sesusuk tubuh seorang wanita
awal tiga puluhan bertubuh gempal dan berwajah garang, sempat membuang jeling
padanya. Walau bibir sekadar dicebik, Bella yakin ungkapan kesat itu
dilayangkan oleh perempuan itu.
“Kita
punya kah ini?” seorang lelaki bertanya seraya menurunkan bagasi merah
kepunyaan Bella. Bella pantas mengangguk. Sempat juga menilik lelaki yang sama,
menegurnya di tangga pesawat beberapa minit yang lalu.
“Terima
kasih bang,” jujur Bella mengucapkan sambal menangkap bagasi yang ditolak
lembut oleh lelaki itu. Lelaki yang cukup berbudi bahasa dan sangat prihatin
itu sempat pula melakarkan senyuman lebih manis daripada madu buat Bella. Dalam
kekalutan sekitar, mereka tiba-tiba dikerumuni taman kebisuan dengan hiasan
gugusan senyuman.
Sesaat
berlalu, senyuman Bella tertelan tiba-tiba. Di hadapannya, perempuan gempal
tadi sudah menepuk kepala lelaki itu dengan tangan kasarnya. Lelaki itu
mendengus geram. Lalu, Bella berpaling. Jangan-jangan suami diakah? Bella
tergelak di dalam hati.
Glosari :
1)
Uina – Amboi, Wah
2)
Sambarangan – Ada-ada / sembarangan
3)
Mem – ibu / emak
4)
Beliau – orang tua (ibu atau bapa) mana2 pun
boleh
5)
Bilang – cakap / kata
6)
Ayuk – ayuh / jom
7)
Endak – tidak
8)
Endak payah – tidak perlu
9)
Mau - mahu
10)
Bah – imbuhan lah / sebagai penegasan /
penekanan (digunakan meluas dalam perbualan)




No comments:
Post a Comment