Suara
kanak-kanak tertawa girang kedengaran di satu sudut taman yang dipenuhi
pelbagai jenis bunga. Bunga kekwa kuning yang mengembang turut tertawa sama
dengan keletah kanak-kanak yang mencucuk-cucuk seorang wanita di hadapan mereka.
Di tangan setiap kanak-kanak yang berusia di antara 6 hingga 10 tahun itu
masing-masing memegang kemas pedang kayu. Senjata mainan mereka.
“Cubalah
teka!” jerit seorang kanak-kanak lelaki, sambil menjolok hujung pedang kayu ke
kaki wanita yang bergaun kembang berwarna putih dan berlapis biru di bahagian luar
gaun. Disambut dengan ketawa girang oleh kanak-kanak yang lain.
Wanita
yang ditutup matanya dengan kain baldu berwarna ungu langsung tidak
menggenggam tawa. Rambutnya ikal dan hitam pekat dibiarkan tidak teruruskan. Panjang sehinggi mencecah pinggang. Mengerbang kala ditiup angin yang sentiasa tidak tenang. Suaranya menjulang. Gelaknya tetap bersantun. Tetapi akalnya
sedang mengamati suara tadi. Dia tahu suara siapa tetapi apalah seronoknya
meneka dengan cepat. Lagipun, dia memang hendak berseronok di taman ini.
“Firad?”
tekanya, sengaja menyimpang.
Suara
kanak-kanak tergelak besar menyapa telinganya. Sekaligus, membasuh segala
keresahan yang berkocak di dalam jiwa. Untuk seketika, dia mahu melupakan rasa
sangsi yang menjengah di dalam fikiran. Menolak rasa cemas yang menepuk tampar
di dalam jiwa. Apa pun masalah yang membelenggu mengikat takdirnya, kanak-kanak
inilah yang banyak mewarnai kekusaman helai demi helai lakaran hidupnya.
Ketika
tangannya terkapai-kapai di udara, terasa tangan itu dipukul kuat dengan pedang
kayu. Dia pantas menarik tangan dan mengusap-ngusap tangannya.
“Fahmin!”
jerkah seseorang yang begitu dikenalinya. Tegas dan lantang di belakangnya.
Serta-merta,
kain baldu yang menutup mata direntap kasar oleh tangannya. Wanita berpakaian
serba putih dengan apron hitam di pinggangnya, sedang mencekak pinggang. Tunak
mata wanita itu tajam menikam ke dalam bebola mata Fahmin. Kanak-kanak berusia
10 tahun itu kelihatan menggigil di hadapan wanita itu.
“Apa
yang kamu buat? Kamu mahu mencederakan…”
“Jangan
marah dia, Cempaka. Dia tak berniat mengasari beta. Kami cuma bermain,” pangkas
wanita bergaun putih dengan kain baldu ungu pekat di tangan. Bola matanya kelabu dan tampak jernih sekali. Pandangannya sentiasa redup. Tunak matanya bersinar-sinar walau bibirnya pegun tidak berkata-kata. Renungannya sentiasa berbicara. Tidak hairannya andai sekali pandang sahaja, Raja Suhaiman akan mengerti apa yang bermain-main di benak akal permaisuri tercinta ini. Baginda pun melempar
senyuman manis kepada wanita yang tua lima tahun berbanding dirinya.
Cempaka
mencebik, tidak senang hati. “Tuanku, mereka kena diajar menghormati tuanku.”
“Sudah
tentu, Cempaka. Tetapi, dalam permainan ada kalanya akan terkasar. Apatah lagi,
Fahmin budak lelaki. Sudah tentu cara mainannya kasar sedikit. Tapi, itu
bukanlah tanda dia tidak menghormati beta.”
“Tuanku,
maafkan patik tetapi patik tidak boleh memandang sebelah mata saja dan
mendiamkan diri apabila orang mengasari tuanku. Tidak kisahlah orang dewasa
atau kanak-kanak sekalipun. Tuanku adalah tanggungjawab patik,” bidas Cempaka
pula. Masih mempertahankan tindakannya.
Wanita
yang digelar tuanku itu adalah Permaisuri Ayuna. Selaku puteri sulung dari Kerajaan
Badari, Ayuna adalah anak yang paling rapat dengan Raja Muana iaitu anak
saudara kepada Maharaja Lantikan Benua Timur. Sebagai menyambung salasilah
keluarga, Puteri Ayuna dijodohkan dengan Raja Suhaiman lapan tahun dahulu dengan
penuh istiadat dan gilang-gemilang. Sifatnya yang rendah diri dan penyayang
menjadikan baginda permaisuri yang dikasihi oleh ribuan rakyat jelata.
“Terima
kasih, Cempaka. Beta hargai keprihatinan kamu. Tetapi, beta harap kamu lupakan
apa yang terjadi tadi. Lihat, beta tak apa-apa pun,” pinta Permaisuri Ayuna
sambil menghulurkan tangannya. Minta dibelek oleh dayang kesayangannya itu.
Akhirnya
Cempaka tahu diri. Dia mengalah setiap kali Permaisuri Ayuna bersikap degil. Dia
mengharapkan agar satu hari nanti atau sekali dalam hidup pun jadilah, agar
dapat melihat Permaisuri yang lemah lembut itu bertukar tegas dan kuat. Sesuai dengan
fitrahnya seorang pemerintah sebuah kerajaan tertinggi.
Permaisuri
Ayuna berpaling semula kepada Fahmin dan kanak-kanak yang masih menggigil di
hadapan mereka. Baginda memaniskan senyuman. Tanda tiada apa yang perlu mereka
gusarkan. Mereka adalah anak-anak lembaga pemerintah dan penasihat Kerajaan Basakti.
Anak-anak itu mendapat pendidikan khas di istana pada sebelah petang. Sebelum balik,
masa senggang mereka selalunya dihabiskan di taman larangan kepunyaan
permaisuri atas permintaan Raja Suhaiman.
“Kamu
boleh pergi bermain dengan mereka, Fahmin,” arah Permaisuri Ayuna sambal mengibas-ngibaskan
kain baldu ungu dan melambungnya ke udara. Berkejaranlah kanak-kanak itu mengejar
dan mahu mendapatkan kain baldu tadi.
Sementara
itu, Fahmin hanya melongo seketika. Tubuhnya kaku menghadap Permaisuri Ayuna. “Terima
kasih tuanku. Dan patik mohon ampun tuanku,” ucapnya, dalam getar suara yang
kelopak matanya digenangi air. Kepalanya ditunduk dan tangan kanannya dibawa
memeluk dada. Itu cara hormat kepada permaisuri mereka.
Permaisuri
Ayuna berasa sebak tiba-tiba. Pantas, dia bergegas merapati Fahmin lalu memeluknya. Dipeluknya dan dipujuk sungguh-sungguh.
Cempaka yang memandang menggenggam jari jemarinya. Menahan perasaan sebal
melihat kelembutan hati seorang permaisuri. Dia sangat-sangat khuatir
kanak-kanak itu apabila besarnya nanti boleh menjadi seorang pemberontak dalam
kerajaan sendiri.
“Kamu
terlalu berkasar, Cempaka,” tegur Permaisuri Ayuna setelah berjaya menenangkan
perasaan Fahmin dan kanak-kanak itu sudah kembali bermain bersama
rakan-rakannya. Baginda dan Cempaka berjalan beriringin di bawah teduhan gerbang sepanjang dua puluh depa dan berbumbungkan kristal. Di sekeliling mereka adalah ribuan spesies tumbuh-tumbuhan yang terdapat di setiap ceruk Benua Timur. Ada yang dibawa terus dari kampung halaman permaisuri sendiri. Baginda sangat-sangat menggemari bunga-bungaan.
Cempaka pula dikenali baginda sejak 8 tahun yang lalu. Sejak kali pertama kaki baginda menginjak Istana Kristal dan ditabalkan sebagai permaisuri kerajaan Basakti. “Mungkin, kalau kamu berkahwin dan mempunyai anak, pasti kamu akan lebih terbuka,” sambung baginda, merenung dalam-dalam wanita yang suka membisu apabila dimarahi itu.
Cempaka pula dikenali baginda sejak 8 tahun yang lalu. Sejak kali pertama kaki baginda menginjak Istana Kristal dan ditabalkan sebagai permaisuri kerajaan Basakti. “Mungkin, kalau kamu berkahwin dan mempunyai anak, pasti kamu akan lebih terbuka,” sambung baginda, merenung dalam-dalam wanita yang suka membisu apabila dimarahi itu.
Riak
di wajah Cempaka bagai pantai putih yang ditampar ombak dan buih. Kata-kata
Permaisuri Ayuna itu ibarat batu yang dilemparkan ke dalam laut. Permukaan air
yang tenang berkocak seketika. Tetapi, langsung tidak mengubah laut pun. Malah,
batu itu masih tenggelam di dasar laut dan tidak timbul-timbul lagi. Ditelan,
ibarat masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
“Tuanku
tahu patik tidak berminat bercakap soal perkahwinan. Patik senang dengan
kehidupan sekarang,” luah Cempaka, setulus hati.
Dia
tidak pernah membohongi Permaisuri Ayuna. Apa lagi, hidup bermuka-muka di
hadapan wanita yang diseganinya itu. Tipulah kalau dahulu dia tidak pernah
menyangsikan kewibawaan puteri sulung dari kerajaan Badari itu. Awalnya dahulu,
Cempaka tidak yakin bahawa Permaisuri Ayuna adalah seorang wanita yang
selayaknya berkahwin dengan Raja Suhaiman, pemerintah kerajaan Basakti selepas
kemangkatan ayahanda baginda.
Tak
semena-mena, riak di wajah tenang tadi berubah mendung. Matanya tajam berlaga
pandang dengan Permaisuri Ayuna yang kelihatan berkerut pula.
“Kenapa,
Cempaka?”
“Tuanku…tuanku
mahu menggantikan patik dengan dayang-dayang lain. Yang lebih muda dan lebih
cergas…?”
Ahhh!
Cempaka dengan sikap prejudisnya itu. Tidak pernah tenang memikirkan bahawa
tempatnya itu akan menjadi milik dayang-dayang yang lain. Setiap kali
Permaisuri Ayuna menegur akan kesilapan dan tindak-tanduknya, Cempaka akan
berasa rendah diri. Mulalah dia paranoid begini.
Permaisuri
Ayuna sangat-sangat memahami. “Tidak Cempaka! Beta tidak mungkin menggantikan
kamu,” balasnya, bersungguh-sungguh.
“Habis
tu, kenapa bercakap tentang perkahwinan patik? Seolah-olah tuanku sudah tidak
senang dengan kehadiran patik,” sayu suara Cempaka memukul gegendang
pendengaran Permaisuri Ayuna.
“Cempaka,
beta tidak berniat mengusik hati kamu. Maafkan beta.”
Tangan
Cempaka dirai dan digenggam erat. Tangan wanita itu terasa kasar. Kulit-kulit
di telapak tangannya sudah lama berkedut. Walaupun umur jauh lagi menginjak
angka 40, tetapi kerja keras Cempaka mengajak fizikalnya merapati kesamaan
dengan wanita yang sudah melewati 40-an.
“Beta
cuma memikirkan masa depan kamu. Siapa mahu menjaga kamu pada usia tua kamu?
Mahu menemani kamu setiap hari. Bermain, kawan berlawan cakap…” kata-kata
Permaisuri Ayuna tidak dihabiskan. Terasa sesuatu berkocak di dalam dada.
Melihat
perubahan pada wajah Permaisuri Ayuna, Cempaka lekas-lekas menarik tangan
permaisuri dan membawanya ke kumpulan kanak-kanak yang sedang berlawan pedang
tadi.
“Tuanku,
patik ada kerja sikit yang mahu diselesaikan. Kalau tuanku tidak keberatan, patik
tinggalkan tuanku di sini dahulu,” pinta Cempaka, melarikan diri. Dia tahu
bercakap soal perkahwinannya akan menimbulkan ketegangan. Kerana Permaisuri
Ayuna tidak akan berhenti bercakap sehinggalah soal anak dibangkitkan. Dan itu
akan mengeruhkan perasaan permaisuri sendiri.
“Tidak
apa, Cempaka. Pergi. Buat kerja kamu. Biar beta bermain-main bersama mereka.”
Cempaka
meninggalkan Permaisuri Ayuna yang sudah memegang sebilah pedang kayu di
tangannya. Sempat pula Cempaka menggeleng, mengeluh dan menerima kedegilan
Permaisuri Ayuna. Dia mengalah. Permaisuri itu tidak akan berubah.




No comments:
Post a Comment