“Ini memang tak masuk akal.” Wanita itu memandang
wajahnya yang terbias di dinding cermin. Langit biru yang terbentang luas tanpa
cela awan langsung tidak menenangkan gelora yang berkocak di dalam hatinya.
“Bercinta dengan Arfan tapi nak kahwin dengan Aathif?
Apa yang Ayen fikirkan? Apa yang berlaku sebenarnya?”
Dia mendengus geram. Kedut-kedut di wajahnya bertambah
jelas. Bukan kerana usianya yang sudah pun menghampiri angka 55 tahun. Tetapi
kerana kebimbangan yang jelas membelenggu jiwanya. Sehingga begitu ketara
terpapar di wajah lesu itu.
Lama dia merenung muka sendiri. Kala, bunyi loceng di
luar rumah berbunyi, dia segera berpaling. Tetamu yang sedang menanti di luar
rumah bukanlah orang asing baginya. Tetapi, dia lebih suka membiarkan tetamu
itu menunggu. Masalah di dalam rumah ini yang harus diberi keutamaan dahulu.
“Apa yang telah berlaku, Ayen? Kenapa Ayen tidak mahu
berterus-terang pada umi? Kenapa Ayen nak seksa hati umi?”
Wanita itu berpaling. Ada riak marah di wajahnya.
Tetapi air mata seorang ibu mengalir di pipi. Anak matanya kaku merenung tajam
pada katil yang ditutup selimut berwarna putih. Sama putih dengan cat di
dinding bilik. Bertambah sebal hati seorang ibu. Kenapalah anaknya itu begitu degil?
![]() |
| Harliza |
Penat menanti jawapan, dia meluru ke katil. Selimut
putih itu ditarik kasar. Kepala seseorang terlihatkan di balik selimut putih.
Ternyata rambut panjang kehitam-hitaman menutup mukanya. Sekalipun selimut
ditarik ibunya, Shaheen tetap kaku. Langsung tidak terkutik.
“Ayen, cubalah cakap sesuatu dengan umi. Janganlah
membisu macam ni saja.” Kali ini ibunya merayu. Dia terduduk lemah di hujung
katil. Badan di balik selimut ditepuk berkali-kali.
“Ayen, bangunlah nak. Cakap dengan umi. Apa pun yang
terjadi, umi akan tolong Ayen.”
Shaheen sedikit pun tidak terkutik. Tetapi sendunya
sudah semakin kuat kedengaran menyapa pendengaran Harliza. Hati seorang ibu
terasa dirobek-robek. Bertanya kepada Arfan, menambahkan seribu satu soalan
lagi. Arfan tidak tahu apa-apa. Entah-entah, dia yang akan diserang pelbagai
peluru soalan oleh pemuda itu. Hendak ditanyakan kepada Aathif, itulah yang
sepatutnya dilakukan suaminya sekarang ini.
“Ayen, umi risau ni, sayang. Apa yang Aathif lakukan
kepada Ayen? Aathif ada buat perkara yang tak elok ke, nak? Cakaplah Ayen.
Tolonglah beritahu umi. Kalau Ayen nak umi rahsiakan daripada abah, umi akan
rahsiakan, nak. Tapi, tolonglah cakap dengan umi. Janganlah sekejap menangis sekejap
membisu macam ni,” rayu wanita bergelar ibu itu sungguh-sungguh. Gugur satu per
satu rasa sangsi yang bermain-main di fikirannya. Hanya rasa keibuan itu sahaja
yang tertinggal. Kalau ikutkan dia, biarkan saja apa pun yang terjadi. Kalau
perkahwinan yang dipinta oleh anaknya itu boleh mengembalikan Shaheen seperti
sedia kala, dia sanggup menurut membabi buta. Asal sahaja Shaheen kembali
tersenyum dan tertawa girang.
“Ayen! Ayen!” jeritan di luar rumah menyentak
perhatian Harliza. Dia tidak berani merapati dinding yang sekadar bertembokkan
cermin itu. Dia yakin pemuda di luar sana lebih tertekan berbanding dengan
dirinya.
“Ayen! Keluar! Kita boleh bincang.” Jeritan yang sama
sejak pagi tadi. Jeritan yang memekakkan telinga mengempangkan seribu
persoalan.
“Ayen…kalau Ayen tak mahu cakap dengan umi, pergilah
cakap dengan Arfan. Kasihan dia, nak. Dia mendesak nak jumpa Ayen tu.” Melirih
suara Harliza memujuk anaknya. Simpatinya terhadap Arfan melimpah-ruah.
Tiba-tiba, Shaheen bangkit terduduk di hadapan ibunya.
Harliza menghela nafas sedikit lega. Wajah seorang ibu itu sedaya-upaya
mengukir senyuman. Masih terkesan rupanya apabila Shaheen menunjukkan reaksi
apabila nama Arfan disebut. Rambut yang melekat di pipi Shaheen dikuis lembut
oleh ibunya.
“Pergilah cakap dengan Arfan. Dia dah lama tunggu,
Ayen,” pintanya. Dia tidak kira siapa pun. Asal sahaja boleh membuat anaknya
membuka rahsia yang dikuburkan di dalam dada. Apa sahaja. Siapa sahaja. Asalkan
anak gadisnya itu kembali ceria seperti dahulu.
![]() |
| Shaheen (Ayen) |
Shaheen berpaling merenung ke dinding kaca. Bulu
matanya tetap melentik sekalipun dia tidak memakai alat melentikkan bulu mata
sejak dua hari lalu. Seketika, bulu mata itu terturun mengikut kelopak yang
terpejam erat. Disusuli pula oleh buliran jernih yang menitis melepasi kelopak
mata itu. Shaheen mengesak sendu. Harliza terkedu. Jiwanya merintih sama. Dan
akhirnya, kepala Shaheen menunduk, rebah di atas lututnya yang masih kemas di
dalam selimut.
Haliza bagai terpukul. Kepala anaknya diusap lembut.
*****
“Aathif pergi mana? Kenapa? Apa yang berlaku?” Salim
berdiri dan bergegas meluru kepada anaknya. Khairul melangkah sama. Aathif
menanggalkan cermin mata hitam dan meletakkan di kocek bajunya di bahagian
dada. Wajahnya tenang. Lagaknya seperti tiada apa salah segala yang berlaku.
Malah, sempat juga dia menutup pintu dan berjalan ke jendela kaca di tepi
pejabat ayahnya itu.
Melihat lagak Aathif, Khairul berasa sangat kesal. Kemarahannya
menggelegak sekali lagi. dia terus menerkam ke arah Aathif dan memegang kolar
baju Aathif.
“Cakap dengan saya, apa yang kau dah buat kat anak
aku? Cakap!”
“Khairul, apa yang kau buat ni? Lepaskan Aathif!”
“Aku tidak akan lepaskan dia selagi dia tak cakap apa
yang dia dah buat kat anak aku.” Jeritan Khairul bergema lantang. Salim
mengitari sekitar bilik dengan perasaan cemas tidak terkata. Akalnya ligat
mencari jalan pendamaian. Aathif pula tidak melawan, tidak juga berasa gentar.
Hati Khairul yang sedia terbakar, seakan rentung melihat reaksi bersahaja
pemuda yang memang terkenal dengan sikap pendiamnya.
“Khairul! Aku pun nak tahu apa yang berlaku. Jangan
buat begini. Kita bincang elok-elok. Please, tolonglah Khairul. Aathif tu anak
aku.”
Salim memegang tangan Khairul sekuat hatinya. Menarik
tangan Khairul daripada mengasari anak sulungnya. Hatinya terkilan dengan sikap
sahabat baiknya itu. sahabat yang dikenali sejak di asrama penuh lagi.
“Kau tengok anak kau ni. Ini muka orang bersalah. Dia
mesti buat salah dengan anakku. Aku tidak akan lepaskan dia,” jerkah Khairul
yang tidak berpuas hati. Mahu sahaja dibenamkan penumbuknya ke muka pemuda yang
menutup mata, seakan berserah diperlakukan apa pun jua. Aathif benar-benar
tidak memberontak. Tidak pun berusaha menyelamatkan diri.
“Iya, aku tahu. Bawa bertenang, Khairul. Kan Aathif
dah kata setuju kahwin dengan Shaheen. Lepaskanlah dia,” pujuk seorang ayah.
Hish! Khairul melepaskan kolar baju Aathif. Namun,
sempat juga menolak tubuh lelaki yang lebih gagah daripadanya itu ke dinding
separuh cermin.
![]() |
| Aathif |
“Aathif, apa yang berlaku?” Salim mengambil tempat.
Khairul yang sudah menjauh dengan perasaan sakit hati yang jelas tampak bersisa
pada riak di wajah itu, bila-bila masa pun akan meletupkan amarah juga. Salim
tidak mahu mengambil sebarang risiko pun.
“Aathif setuju kahwin dengan Shaheen, ayah.” Sekali
lagi, Aathif melaungkan persetujuannya. Tunak matanya tegas merenung ke dalam
anak mata Salim.
Khairul dan Salim melongo serentak, berpandangan
sesama sendiri. Masalah yang membungkam sebal itu dianggap remeh oleh pemuda
yang selalu mengambil berat sekecil-kecil perkara pun. Khairul memejam mata,
bersandar pada kabinet almari di tepi dinding yang sama. Meminjam kekuatan agar
tidak tumbang.
“Ayah tahu. Aathif dah cakap pun. Tapi, yang ayah nak
tahu apa yang berlaku antara Aathif dengan Shaheen? Aathif tahu ke macam mana
reaksi Arfan? Tahu tak perasaan Arfan sekarang ni? Tahu tak?” semakin sampai ke
hujung ayat, suara Salim memekak amarah. Menjunam segala kesabaran. Hilang
tidak bersisa. Berasa sedikit kesal terhadap satu-satunya anak yang sentiasa
memberi kebanggaan kepadanya selama ini.
“Jangan tanya apa yang berlaku, ayah. Aathif pun tidak
tahu. Apa yang Aathif mahu sekarang ni, Aathif mahu berkahwin dengan Shaheen.
Itu sahaja!” Melirih suara Aathif melunaskan hasrat yang langsung tidak terbit
dari dasar hatinya itu. Bertambah sakit lagi apabila orang tua yang sepatutnya
lebih mengenalinya, lebih memahaminya dan paling disayangi itu tidak berpihak
kepadanya.
“Habis Arfan…?”
“Arfan akan bersedih sekejap sahaja. Kalau kami dah kahwin,
lama-kelamaan Arfan boleh terima juga,” potong Aathif laju. Segaris perasaan
hampa terus menebar dalam jiwa.
“Senangnya mulut kau cakap. Kau tahu tak apa yang kau
cakap ni? Kau ingat lagi ke Arfan tu adik kandung kau sendiri,” herdik Salim,
tetap berdegil. Benar! Fikirannya keliru. Jiwanya berkecamuk. Ini bukannya
sikap Aathif. Anaknya Aathif itu sanggup mati untu adiknya. Sanggup mengelar
tangan sendiri daripada melukakan hati orang tuanya. Benarkah Aathif yang
berada di depan mata ini adalah anak kandungnya itu. Tidak! Salim menggeleng,
benar-benar hampa.
Aathif mengunci mulut. Dia sedar diri. Kemarahan
kedua-dua orang tua itu tidak akan redah. Dan dia tidak bersedia untuk membuat
sebarang penjelasan. Tidak sehingga masa itu tiba. Harapannya hanya satu.
Kalaulah mereka masih ada segelintir keyakinan terhadapnya, mereka akan tahu
dia tidak sesekali akan melukakan hati adiknya sendiri. Ini kan pula
memusnahkan kebahagiaan Arfan. Apa yang telah dan akan dia lakukan, semuanya
demi kasih seorang abang terhadap adiknya, terhadap keluarganya dan terhadap Shaheen!
![]() |
| Khairul |
Aathif melangkah perlahan-lahan menghadap Khairul. Khairul
menatap wajah Aathif dan memandang Salim silih berganti.
“Uncle…” Aathif mengemam bibir, menghela nafas sebelum
meluahkan hasratnya.
“Uncle, benarkan saya berkahwin dengan Shaheen malam
ni?” pintanya, mengertap bibir sehingga menjadi kemerah-merahan.
“Ah? Malam ni?” desis Khairul terlopong. Tunak matanya
berbicara kecewa terhadap Salim yang berdiri di belakang anaknya itu. Salim
juga tampak terkejut kehairanan.
“Saya nak bernikah dengan Shaheen malam ni di rumah
uncle,” ulang Aathif tanpa riak bersalah. Sedangkan jauh di sudut hatinya,
pelbagai hambatan yang mencincang lumat jiwanya sedang bertarung dan bertarung.
Menekan dan terus menekan. Kalaulah kedua-dua orang tua ini tahu apa yang harus
dilalui Aathif demi sebuah keluarga? Malangnya, tangannya terikat, mulutnya
terkunci. Dia harus berdiam diri demi sebuah nyawa.
“Kalau aku tak benarkan?” duga Khairul menentang
renungan mata Aathif.
“Saya dah beli tiket flight ke Thailand petang ni.”
Satu tamparan singgah di pipi Aathif. Bukan daripada
Khairul. Tetapi, buat pertama kalinya, untuk sekian lamanya, Salim melayangkan
telapak tangannya ke muka Aathif. Merintih jiwa lelaki tua itu. Menangis
rasanya apabila seorang anak lelaki yang sangat matang bakal menjejak umur 38 tahun itu
bersikap semacam remaja yang tidak habis sekolah menengah lagi. Malu! Dia malu
sangat-sangat.






No comments:
Post a Comment