Rajinlah klik kat sini ya

Pengkarya

Wednesday, March 11, 2015

ADA AKU KISAH?

Foto adalah milik peribadi saya. Tidak boleh digunakan tanpa kebenaran

Hasil Nukilan : Nurhidah Halun

Aku mengurut dada. Nafas dilepaskan pendek-pendek. Masih termengah-mengah, walau sudah hampir satu minit kami duduk mencangkung di sini. Masing-masing melepas lelah berkejar-kejaran dari kedai cyber café di hujung deretan kedai di belakang kami ke batang pokok yang sudah reput, tempat kami bertenggek umpama burung.
“Tengok tu!” rakan berbaju kuning di hujung sekali tiba-tiba memecah kebingitan hembusan nafas yang menderu garang di antara kami. Aku pantas memalingkan muka kepadanya. Mukanya mendongak ke awan dengan wajah yang penuh bercahaya. Tangannya di angkat tinggi sedang jarinya dituding ke atas. Aku melangitkan pandangan.
“Hebat, kan?” soalnya pada kami bersama rasa kagum yang melambung-lambung. Aku tersenyum. Hati tumpang kagum melihat kapal terbang yang meluncur megah di langit yang membiru. 
            “Suatu hari nanti, aku nak jadi juruterbang,” tiba-tiba rakan itu melontarkan angan-angannya seraya memejamkan mata. Kami yang tiga lagi berpaling serentak ke kanan. Menatap wajahnya yang dihiasi dengan senyuman. Kawan yang berbaju kuning dengan warna rambut yang sudah berubah keperangan sedikit, sudah terbukti yang paling tua di antara kami. Siang harinya banyak dihabiskan di bawah teriknya mentari. Seketika, dia membuka mata luas-luas sebelum melingas ke kiri. Pandangan kami bertembung dengannya. Dia semakin tersengih, sedikit pun tiada rasa malu meluahkan impian yang selepasi ketinggian awan itu.

            “Kenapa?” rakan di sebelahku pula bertanya. Baju biru dan seluar singkat melepasi tempurung lutut dibetulkan berkali-kali. Namun, tunak matanya tetap pada rakan di hujung satu lagi. Kami berempat yang duduk berlaga bahu, sudah tidak hairan dengan penampilan dan bau badan sesama kami.
            “Sebab, aku dah penat nak tinggal di dalam perahu. Aku teringin pula nak tinggal di dalam kapal terbang.”
            Aku terkedu. Rakan yang bertanya tadi ketawa terbahak-bahak. Aku pun pantas menyiku pinggangnya. Namun tawanya tidak meredah. Nasib baiklah, rakan yang bercita-cita menjadi juruterbang itu langsung tidak kisah. Memang dia jenis yang kering hati. Cakaplah apa pun, buatlah apa pun, dia tidak pernah kisah!
            Aku pula sudah melontarkan pandangan ini ke dada laut. Merasai lelah yang sama. Malamku, bertemankan gelora ombak dan dakapan angin laut. Terumbang-ambing dibuai mimpi. Siangku, tanah inilah tempat bermain dan melepaskan kerinduan pada sesuatu yang tidak pernah menjadi milikku.
            “Tinggal di dalam perahu ini dihina masyarakat. Seolah-olah kita lagi hina daripada pengemis dan peminta sedekah. Tak ada orang yang mahu berkawan denganku.” Dia meluahkan rasa terkilan.
            Kami bertiga lagi mengangguk. Memahami dan merestui. Perjuangannya itu adalah perjuangan kami. Sekelompok kecil masyarakat yang hidup dan membesar di dalam perahu.
            “Sebab itu kau nak jadi juruterbang?” rakan yang berbaju jingga pula sudah mula berminat untuk menjadi pengulas. Rakan yang menerima soalan dari tadi tanpa berlengah sudah mengangguk. Senyumannya tidak mengendur. Kening pula berulang kali dijungkit.
            “Adakah juruterbang tinggal di dalam kapal terbang?” aku yang sedari tadi membisu tiba-tiba mencelah. Sebijak-bijak akulah, belum pernah lagi terbaca di suratkhabar yang ada juruterbang tinggal di dalam kapal terbang.
            “Mana kau tahu? Kau pernah naik kapal terbang ke?” dia menyoal, kurang senang. Aku menggeleng. Sungguh! Memang aku tidak tahu.
            “Memanglah aku tak tahu. Apa yang aku tahu, aku pun teringin nak naik kapal terbang. Macam hebat je macam laju je.”
            “Aku dengar orang cakap kalau tak biasa terbang tinggi, orang boleh muntah,” rakan berbaju biru sudah mula menakut-nakutkan kami. Dahiku berkerut.
            “Siapa yang cakap?” rakan berbaju kuning sudah berdiri. Lagak macam orang yang mahu cari gaduh. Aku telan air liur. Pandanganku terarah kepada rakan berbaju biru tadi. Dia turut berdiri.
            “Kak Gunting di kedai salon hujung tu.”
Serentak itu, tunak mata kami menurut bibirnya yang sengaja dikucup dan dimuncungkan seinci. Seolah-olah menunjuk ke deretan kedai di belakang kami.
            “Dia pernah naik kapal terbang ke?” rakan berbaju jingga di sebelahku turut dihimpit gusar yang sama.
            “Mestilah pernah. Kau tengoklah bajunya. Tengoklah make upnya.” Rakan berbaju kuning ini semakin berkobar-kobar semangatnya kala bercerita. Aku pula yang garu kepala. Masih meragui. Berbeza sekali dengan apa yang aku baca di dada akhbar.
            “Ada kena-mengena ke?” rakan berbaju jingga merapat mendekatiku dan berbisik. Nampaknya dia pun dilanda perasaan yang sama sepertiku. Aku menggeleng sebelum mengenyitkan mata. Memberi amaran agar berdiam diri.
            “Yang paling bestnya…aku boleh pergi banyak tempat. England, Amerika, Australia, Jepun dan Korea. Wah! Hebatkan?” Rakan berbaju kuning terlonjak girang hanya dengan memikirkan angan-angan itu. Sempat juga dia bertepuk tangan segala.
             “Dalam Malaysia pun kau tak jalan habis lagi, ada hati nak ke luar negara,” aku terlepas cakap. Terus sahaja tangan aku bawa menerkup mulut. Tunak matanya ditikam jauh ke dalam hatiku. Lantas, aku terus menekur tanah dan menguis-nguis tanah sedikit berpasir dengan selipar Jepun yang sudah hangus tapaknya.
            “Tak kisahlah aku sudah menjelajah dalam Malaysia atau tidak. Aku tetap nak jadi juruterbang.Yang lain, ada aku kisah?” ujarnya, jujur dan tegas.
            “Okey, okey, sekarang aku nak cerita pula cita-cita aku. Nak dengar?” rakan yang berbaju biru sudah terjentik membuka impiannya. Aku mendongakkan pandangan. Wajahnya kembali berseri-seri. Rakan berbaju kuning tadi sudah kembali duduk di sisiku. Namun, riak wajahnya sudah kembali tenang seperti permulaan tadi. Kami bertiga tampak semakin teruja dan bersedia memasang telinga.
            “Tak payahlah tanya. Kalau kami tak nak pun kau tetap nak cerita, kan?” usik rakan paling muda di antara kami. Aku sempat menyiku rakan yang berbaju jingga itu.
            “Aku nak jadi orang kaya,” dia tertawa sendiri.
Tak semena-mena dadanya naik ke depan, sedikit meninggi daripada biasa. Tangannya dibuka dan ketiaknya kelihatan semakin jelas. Nasib baiklah dia pakai baju. Langkah kaki dikangkang besar. Lalu, dia berjalan beberapa tapak, mundur-mandir di hadapan kami. Kepala didongak sedikit dan senyumannya meleret. Aku, rakan berbaju kuning di sebelah kanan dan rakan berbaju jingga di sebelah kiri berpandangan antara satu sama yang lain. Kami tercengang. Mulutku ternganga dan bahuku terjungkit.
            “Apa yang kau buat tu?” rakan berbaju jingga sudah malas berfikir, terus bertanya. Langkah rakan itu mati. Dia mendengus geram sebelum menggeleng.
“Inilah cara orang kaya berjalan,” terangnya. Mengundang gelak yang sama seperti dia gelakkan rakan berbaju kuning tadi. Padan muka dia! Kan dah kena pada batang hidung sendiri. Mungkin kerana itu, dia masih tersenyum.
“Aku nak banyak duit. Boleh beli rumah di atas tanah. Boleh beli baju yang cantik-cantik. Makan yang sedap-sedap. Pakai kereta dan ada orang gaji.”
            “Mana kau tahu orang kaya ada semua tu?” rakan berbaju jingga bertanya lagi. Aku lebih senang menjadi pemerhati.
            “Dalam tv.” Katanya penuh bangga. Kami terlupa itu.
Dalam perahunya memang ada televisyen. Walaupun setakat Tv1 dan Tv2 sahaja yang mendapat siaran, tapi maklumat yang disampaikan lebih banyak diperolehinya berbanding kami yang tiada televisyen. Menumpang menonton di perahunya ataupun di deretan kedai sekali-sekala. Itupun, kalau tidak dihalau oleh tuan kedai atau pekerjanya.
            “Kau ingat senangkah nak jadi kaya?” akhirnya, aku bertanya secara rasional. Tidak tahan menjadi pemerhati, aku terus pula menjadi pengkritik.
            “Ayah aku cakap, kalau nak jadi kaya kena kerja kuat-kuat,” rakan berbaju jingga menyampuk.
            “Taklah, ayah aku kata, kalau nak kaya kena kerja siang malam. Baru dapat duit banyak,” rakan berbaju kuning membidas kasar. Tidak berpuas hati, aku pula turut mencelah.
            “Mak aku kata, kalau nak berjaya dengan apa pun impian, semuanya bermula dengan pelajaran.”
            Semua memandangku. Sesuatu menggerutu di dalam hati. Aku telan air liur yang mula terasa payau sekali. Perutku bagai dipulas-pulas. Sebentar lagi, aku akan bertikam lidah dengan tiga rakan ini. Niat nak jadi pengkritik, konon. Ha! Sekarang sudah kecut.
            “Ayah aku pun cakap macam tu,” rakan berbaju kuning bersuara. Aku berasa sedikit lega. Dalam hati, aku memanjat syukur.
            “Aku pun,” rakan berbaju biru sudah menyokong. Ha! Senyumku melebar serta-merta.
            “Maksudnya sekarang, sama ada nak jadi juruterbang atau nak jadi kaya-raya, kita kena pentingkan pelajaran dulu?” rakan paling muda itu bertanya dengan mata yang terkebil-kebil.
            “Betul,” jawab kami serentak
            “Kena belajar betul-betul dan lulus dengan cemerlang?” dia masih ragu-ragu.
            “Betul,” sekali lagi kami mengangguk serentak.
            “Habis tu…aku nak jadi PM pun kena belajar rajin-rajin jugalah?” tebaknya, memohon kepastian. Bukan soalan itu yang menghenyek minda kami. Hatta, lebih kepada pengakuan tanpa sedarnya tadi.
            “Ah? PM?” kami bertiga serentak menuntut kepastian daripada rakan berbaju jingga ini.
            Dia tersenyum kambing. Mukanya berubah merah. Dia sudah malu. Kelopak mata tunduk memandang kaki kami.
            “Kau nak jadi PM?” rakan berbaju kuning sudah bertanya lantang. Nada suara itu mengalun tegas. Menyembunyikan tawa yang cuba ditahankan.
            Dia mengangguk. Serta-merta, kami tertawa mengekek. Sudah tidak mampu menggenggam tawa sejak dia melaungkan impian hebat itu. Bukannya kami berniat mempersendakan dia. Namun, jika ditimbang baik-baik, difikir masak-masak atau dibelek dengan cermat pun, impian itu tetap tidak masuk akal. Dia, dengan sikapnya yang pemalu, pendiam, kurang bijaklah dan paling tak banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman, bercita-cita ingin menjdi seorang pemimpin sebuah negara.
            “Cakap pada kami kenapa kau nak jadi PM?” aku cuba meredahkan suasana yang bertukar hingar ini.
            “Sebab aku kan suka baca Al-Quran dan rajin solat berbanding dengan kamu bertiga.”
            Ketawa mati. Kami berpandangan antara satu sama lain. Benar-benar disampuk rasa bingung dengan pengakuan rakan berbaju jingga ini.
            “PM? Perdana Menteri?”
            Dia membuntangkan mata. Air liur dia telan laju-laju. Terus kembali duduk menghimpit di antara kami. Wajahnya berubah takut.
            “PM yang kau maksudkan tu apa?” rakan berbaju kuning bersuara.
            “Pengurus Masjid,” jawabnya, sekadar berbisik.
            Kami ketawa lagi. Paling tidak tahan adalah rakan yang berbaju biru.
            “Aku mati-mati ingatkan Perdana Menteri,”
            “Takkanlah aku nak jadi Perdana Menteri. Aku kan orang miskin, tak sekolah pula tu.” Rupa-rupanya dia tahu diri.
            “Kamu kan tahu empat orang Perdana Menteri kita semuanya daripada golongan terpelajar,” tokoknya. Rakan yang berbaju biru pantas bangun. Berdiri di hadapan rakan berbaju jingga ini dan terus mengetuk kepala.
            “Lima oranglah. Perdana Menteri kita dah lima orang!” rakan berbaju biru itu kelihatan sebal. Aku mengulum senyuman.
            “Oh, lima orang ke? Manalah aku tahu. Aku kan tak sekolah macam kamu bertiga.” Dia mengadu kekurangan diri. Aku berasa simpati. Dia yang berusia lapan tahun, tidak pernah menjejakkan kaki di mana-mana sekolah. Beginilah hidup kami yang sebagai anak yatim. Hidup bergantung pada diri sendiri.
“Aku hanya tahu mengaji dan rajin ke masjid. Harap-harap suatu hari nanti, aku boleh menghabiskan banyak masaku di masjid.”
            Kami terdiam. Sedar betapa daifnya dia berbanding kami. Rakan berbaju kuning sudah menepuk-nepuk bahunya. Rakan yang berbaju biru pula duduk mencangkung di hadapannya. Wajahnya yang suram, berubah mendung. Mata itu semakin tampak basah pada pandanganku. Lalu, bagai dirasuk sesuatu kami berempat berpelukan. Menginsafi kekurangan masing-masing.
            “Okey, kau pula nak jadi apa?” tiba-tiba soalan dituju padaku. Pelukan aku lepaskan. Kembali duduk bercangkung. Melontar pandangan sekali lagi ke rumah perahuku yang terumbang-ambil dipukul lembut oleh ombak. Terbias wajah arwah ayah menebar pukat ke dada laut. Semakin kuat dada ini menahan gelora kala wajah muram ayah semakin berkeriut memandang ke langit yang berubah kelam.
            “Aqil,” bahuku ditepuk. Namaku disebut. Aku tunduk. Kenangan setahun lalu masih segar dalam ingatanku. Cita-cita ini terlalu kecil berbanding mereka. Rasa malu pula seandainya mereka mentertawakanku.
            “Aku nak baliklah. Nanti mak cari aku,” aku bangkit. Rakan yang berbaju biru mendepakan tangan. Menghalang laluanku.
            “Jangan nak lari. Kami nak tahu juga rahsia kau,” rakan berbaju kuning sudah menahan bahuku sehingga aku terduduk semula.
            “Alah, cepatlah cerita. Dengan kami pun takkanlah nak berahsia,” pinta rakan berbaju jingga pula. Aku gigit bibir sendiri.
            “Nanti kamu gelakkan aku.”
            “Nak gelak apa? Tadi pun kamu yang gelakkan aku,” rakan berbaju biru bersuara seraya tertawa dibuat-buat terlebih dahulu. Tanpa sedar, menepuk keyakinan yang sedikit menggebu.
            “Aku…aku nak jadi penulis,” suaraku putus-putus. Tiada keyakinan seperti rakan-rakan yang lain.
            Mereka terdiam. Aku menanti. Manalah tahu ada yang ketawa. Riak langsung tak berubah. Jadi, aku andaikan mereka tidak dengar.
            “Aku nak jadi seorang penulis,” ulangku. Lebih lantang. Memastikan mereka mendengar.
            “Iya, kami dengar. Kau nak jadi penulis,” rakan berbaju biru menongkat dagu di atas tempurung lututnya.
            “Lagi?” tokok rakan berbaju kuning
            “Apa yang lagi? Aku nak jadi seorang penulis.”
            “Ada banyak jenis penulis? Kau nak jadi yang mana?” ujar rakan berbaju kuning lagi.
            Eh…dia tahu? Aku terpinga-pinga. Tidak pernah terlintas di mindaku hendak jadi penulis yang bagaimana. Apa yang begitu kental ialah semangat mahu menulis. Melepaskan semua yang terbuku di hati, memuntahkan semua yang bertakung di minda dan meleraikan simpulan rasa yang berserabut memasung perasaan.
            “Ha..aku tahu. Kau nak jadi wartawan, kan? Patutlah kau suka baca suratkhabar yang dikutip daripada timbunan sampah-sarap tu,” rakan berbaju jingga tiba-tiba menduga. Wajahnya berseri-seri. Macamlah dia menang loteri tadi.
            “Tapi, aku rasa baik kau tulis novel. Sebab orang yang tulis novel boleh kaya,” saran rakan berbaju biru. Tak habis-habis dengan azamnya yang hendak jadi kaya-raya itu.
            “Iya ke? Takkan tulis novel saja boleh kaya? Semudah itu?” rakan berbaju jingga menyangkal keras. Aku terkebil-kebil memerhati.
            “Apa yang mudah? Kau ingat nak tulis novel tu senang sangat ke? 500 muka surat tu. Berbulan-bulan baru siap,” rakan berbaju kuning juga tidak bersetuju.
            “Kalau begitu, baik kau jadi penulis lagu. Cepat kaya,” kening rakan berbaju biru berjongket-jongket. Idea gila hendak jadi kaya lagi. Aku tersenyum di dalam hati.
            “Eh..tahulah kau nak jadi kaya, tak usahlah suruh dia jadi kaya saja,” sampuk rakan berbaju jingga pula.
            “Dia nak jadi penulis. Bukan nak jadi kaya. Lagipun, mana ada penulis yang kaya-raya?” rakan berbaju kuning tetap keras menafikan. Aku cuba mengingati nama-nama penulis yang kaya-raya. Tiada satu pun yang menyinggah di fikiran. Mungkin, aku tidaklah tahu nama-nama penulis yang gah pun. Sekadar membaca karya segelintir penulis sahaja. Itupun aku kutip daripada timbunan sampah-sarap yang sudah dibuang oleh pemiliknya dulu.
            “Apa salahnya dia jadi kaya? Kalau dia kaya, kita pun boleh tumpang kaya. Boleh rasa senang sikit,” dia tetap yakin dan percaya pada impianku.
            “Kenapa pula?” soal rakan berbaju jingga lagi.
            Aku pun curiga. Sebenarnya, aku mahu menjelaskan sesuatu. Mendengar soalan rakan itu, terus sahaja aku kembali mengunci mulut.
            “Iyalah, dia kan yang paling baik antara kita. Kalau dia beli makanan, dia kongsi dengan kita. Kalau kita sakit, dia belikan ubat untuk kita. Bukan macam kamu berdua,” rakan itu bersuara tegas menuding kepada rakan berbaju kuning dan jingga.
            “Kau pun samalah,” tekan rakan berbaju jingga pula.
            “Tapi, aku tak bercadang nak tulis lagu…” aku tiba-tiba bersuara. Memandang mereka memohon pengertian.
            “Kenapa? Tulis lagulah yang paling mudah dan cepat meletup. Untung-untung kau boleh jadi lebih glamour daripada Siti Nurhaliza,” rakan berbaju biru semakin memaksa. Padanya menjadi seorang penulis lagu, mempunyai harapan yang tinggi untuk menjadi kaya-raya. Berjaya dalam konteks pemikirannya ialah kaya-raya. Aku melepaskan nafas sekuat hatiku. Melepaskan sama beban yang mengasak di dada.
            “Siti Nurhaliza tu penyanyi. Bukan penulis,” tukasku.
            “Aku baca dalam suratkhabar hari tu dia tulis lagu,” rakan berbaju biru tetap bertegas.
            “Sekarang Dato Siti Nurhaliza,” aku membetulkan panggilan itu. Banyak sangat aku baca kes saman sana sini disebabkan tersalah menyebut nama panggilan mereka. Serentak itu, mataku melingas sekitar anjung kedai. Manalah tahu ada pihak yang berwajib di sini. Tak pasal-pasal budak-budak semuda kami merengkok dalam penjara besi. Ngeri menjalar sejenak mengusik tubuh ini.
            “Aku tahu apa yang paling untung…” semua mata tertumpu pada rakan yang banyak idea itu.
            “Kau tulis skrip wayang. Tulis cerita lain dari yang lain. Ramai orang tengok wayang. Boleh dapat sampai juta-juta tu,” rakan berbaju kuning itu pertama kali melontarkan idea bidang penulisannya kepada kami. Tunak matanya terarah tepat padaku. Bahuku dipegang kejap.
            “Mana kau tahu?” rakan berbaju biru pula seakan ragu-ragu.
            “Aku baca suratkhabar yang dia dah baca,” jawab rakan berbaju kuning sebelum ketawa terbahak-bahak. Aku tumpang tersenyum sahaja.
            “Kau boleh jadi macam Rosyam Nor atau Aaron Aziz. Boleh kaya,” rakan berbaju biru bersuara lagi. Aku sudah menahan tawa. Sekarang, dia pula menyokong idea rakan berbaju kuning itu. Apa sahaja, asalkan aku boleh jadi kaya.
            “Aaron Aziz tu pelakonlah. Bukan penulis,” kali ini rakan berbaju jingga mengetuk kepalanya. Karma! Dia membalas dendam. Aku ketawa geli hati. Tak pasal-pasal rakan berbaju biru mengaduh sakit sebelum bangkit mempamer wajah bengisnya. Rakan berbaju jingga turut bangkit mendepaninya. Rakan berbaju kuning sudah menyiku aku. Kenyit matanya menyampaikan agar aku masuk campur. Serta-merta aku bangkit dan berdiri di tengah-tengah mereka.
            “Kau nak jadi penulis yang mana satu?” terus sahaja rakan berbaju biru bertanya. Jawapan aku sahaja yang mungkin menentukan kemenangan di antara mereka. Aku pandang mereka silih berganti. Sesekali mengintai pada rakan berbaju kuning yang masih duduk bertenggek memerhati kami.
            “Aku…aku nak…” kata-kataku terhenti. Bagaimana hendak aku ceritakan agar mereka mengerti? Perkataan mana yang boleh aku gunakan agar mereka jelas dan memahami? Jalan mana yang harus aku pilih agar apa yang ingin disampaikan itu sempat menyentuh hati mereka, sekalipun sekadar bertegur sapa di minda dan rasa?
            “Aku nak menulis tentang rumahku…”
            “Rumahmu perahu saja,” potong rakan berbaju jingga. Dia mengingatkan aku pada kekurangan yang sudah bersarang sejak aku mengenal bumi lagi. Bibirku mengherot sedikit. Sesungguhnya, aku tidak pernah lupa dari mana asal-usulku. Sekalipun, emak kerap mengingatkan aku bahawa ini bukanlah tempatku.
            “Iya, aku mahu menulis tentang rumahku di dalam perahu. Mahu menulis tentang laut dan ombak. Tentang langit yang tidak pernah selalu cerah. Tentang daratan ini dan manusia yang jelek tingkahlaku mereka, tentang…”
            Aku terhenti. Terlalu banyak yang mahu aku luahkan di dalam penulisan. Tidak terungkap oleh lidah ini. Bukannya aku tidak mampu. Namun, menuturkan satu persatu, mengundang sebak di dadaku. 
            “Aku mahu menulis tentang Adam yang mahu berumah di dalam kapal terbang, mahu menulis tentang Rahim yang menjadi pengunjung setia masjid dan tentang…” wajah mereka aku tatap silih berganti. Senyuman mereka meleret. Rakan berbaju biru menepuk-nepuk dadanya penuh bangga.
            “Tentang Salleh yang mahu makan sedap-sedap, memakai baju cantik-cantik dan rumahnya umpama hotel lima bintang,” aku menyambung.
            “Hotel? Aku tak cakap pasal hotel pun,” rakan berbaju biru itu menggaru kepala.
            Aku tidak mengambil endah komennya. Sememangnya menjadi seorang penulis pastinya aku akan diburu pengkritik tegar.
            “Banyaknya yang kau mahu tulis,” rakan berbaju jingga melahirkan rasa simpati. Aku sekadar mengangguk.
            “Paling penting, aku mahu tulis tentang aku, diriku, tempatku, masyarakat di sekelilingku dan segalanya berkisar dengan duniaku.” Begitu aku mula bercerita dengan penuh yakin. Entah dari mana datangnya, semangat menggebu dan keyakinan memancut tinggi dalam diri.
            Rakan berbaju biru mendehem. Rakan berbaju kuning pula mengeluh.
            “Kalau macam tu, sampai bila pun kau takkan kaya,” kata rakan berbaju kuning. Sekali lagi pandangan penuh simpati itu dilemparkan padaku. Melahirkan rasa prihatin dari seorang rakan kepada rakan yang lain.
            “Kenapa?”
            “Siapa nak baca? Siapa nak beli hasil tulisan kau?” lantang suara rakan itu mempersoalkan impianku.
            “Lainlah kalau kau tulis tentang Siti..eh, Dato Siti Nurhaliza, tentang cinta dan asmara, tentang gosip orang ternama. Barulah ramai orang yang beli dan baca.” Rakan berbaju biru pula menyokongnya. Aku tahan hati. Jiwa penulis ini memang sensitif. Mudah benar bertingkah rasa. 
            “Aku tak kisah kalau tak ada orang yang baca. Cukuplah aku ada kau, kau dan kau,” kataku, separuh menguji kesetiaan mereka terhadapku. Kalau nama mereka adalah kawan, yang tidur sebantal, makan sepinggan tentu sahaja merekalah orang yang kuat menyokongku.
            “Asal kamu bertiga sokong aku, baca hasil tulisanku, memahami maksud yang mahu disampaikan, itu sudah memadai buatku.”
            “Bayangkan aku ada Adam yang membawa hasil tulisanku ke seluruh pelusuk bumi dengan kapal terbang kebanggaannya. Aku ada Rahim yang memastikan mesej-mesej yang aku tintakan sampai kepada pengunjung-pengunjung masjid. Tak kira siang atau malam. Dan aku ada Salleh yang kaya-raya. Bukan setakat menerbit dan memasarkan, kau tentu boleh membuat amal dengan menjadikan kisah kita sebagai inspirasi kepada orang lain.” Begitulah aku yang tanpa sedar, mengikat anganku bersimpul dengan impian mereka. Mereka terkebil-kebil memandangku.
            “Kami bertiga saja?” rakan berbaju jingga masih ragu-ragu.
            “Ya, untuk permulaan.” Aku melangitkan impian. Wajah mereka aku tatap penuh pengharapan. Jiwa mereka cuba aku salami sedalam yang mungkin. Bersama keyakinan yang memejal dan kesungguhan yang berkepal-kepal, aku menyambung, “daripada kamu bertiga, mungkin boleh jadi 23 orang, kemudian pada 236 atau 268 orang. Dan paling best sekali kalau dapat 3,033 orang tu. Hebatnya,” aku tersenyum sampai ke telinga. Mereka memandangku dengan renungan yang terasa pelik sekali. Mungkin, mereka ingat aku sudah kena rasuk hantu atau gila. Ah! Biarlah.
            “Aqil, kau ni tidak bercita-cita. Cikgu aku kata, cita-cita harus tinggi melangit, harus nampak pejal dan realistik,” rakan berbaju kuning itu bersuara lantang. Menganggap impianku tadi setakat cakap kosong sahaja. Wah! Hebatnya dia berkata-kata. Dia fahamkah maksud realistik itu? Aku sendiri pun belum memahami sepenuhnya maksud perkataan itu.
            “Cita-cita kau tu terlalu rapuh, lembut dan tak bermakna langsung.” Dia menokok tanpa memberi peluang aku membela diri.
            Hebat juga dia mengkritik. Aku belum lagi menjadi penulis, sudah dikritik. Impianku dikecam dan niatku dibedah rakus sekali.
            “Salahkah? Aku mahu menyampaikan sesuatu mesej dalam tulisanku. Biar orang berfikir di luar kotak,” tegasku, bersama riak wajah yang berubah masam.
            “Masalahnya, di dalam kotak pun orang malas nak fikir, inikan pula di luar kotak,” rakan itu tetap mengkritik.
            “Itulah masalah mereka. Ada aku kisah? Yang aku tahu, aku nak tulis juga,” tekanku, menyerigai menikam ke dalam mata mereka.
            “Apa guna kau jadi penulis, kalau tiada orang yang baca? Cubalah…”
            “Ah! aku dah kata tadi, aku ada kau, kau dan kau!” aku menuding jari telunjuk tepat ke muka mereka. Suaraku bertempik garang. Mereka juga sama tegas sepertiku. Wajah mereka tidak berubah riak. Langsung tidak gentar dengan amukanku.
            “Kenapa? Kamu pun tak mahu nak baca?” aku menduga sekali lagi. Lentoknya suara keras sekali. Antara bertanya atau mengugut, aku pun bukannya pasti. Namun, aku tahulah riak di wajah itu. Mereka tertekan kerana didesak olehku.

            “Sudahlah! Kalau kamu pun tak nak baca, ada aku kisah? Aku tetap nak jadi penulis!” laungku tinggi. Tanpa berlengah, aku membawa diri dengan perasaan sebal bukan kepalang. Terdengar mereka memanggil tetapi langkah kakiku semakin laju menjauhi mereka. Jiwaku menggelegak marah, tanganku menggempal tanpa sedar. Namun, kolam mataku bagai dikocak. Hatiku rabak.  

No comments:

Post a Comment